Soalan Lazim

PENGENALAN KEPADA SIMPANAN SHARIAH

CIRI-CIRI
  SIMPANAN KONVENSIONAL SIMPANAN SHARIAH
KEAHLIAN Terbuka kepada semua yang wajib dan layak mencarum tanpa mengira agama, bangsa dan status warganegara
AKAD Tidak tertakluk kepada sebarang akad Tertakluk kepada Akad Simpanan Shariah berdasarkan akad Wakalah
KADAR DIVIDEN Kadar dividen adalah berdasarkan prestasi sebenar pelaburan konvensional(pelaburan tidak patuh Syariah dan patuh Syariah). Kadar dividen adalah berdasarkan prestasi sebenar pelaburan patuh Syariah dan tiada jaminan kadar dividen minimum
PERAKUAN JAWATANKUASA PENASIHAT SHARIAH (JKPS) Tidak tertakluk kepada perakuan JKPS Diperakukan oleh JKPS
PERTUKARAN AKAUN Ahli boleh memilih untuk bertukar ke Simpanan Shariah Ahli tidak boleh untuk memilih untuk kembali ke Simpanan Konvensional selepas tarikh kuat kuasa
OPERASI
  SIMPANAN KONVENSIONAL SIMPANAN SHARIAH
PENDAFTARAN Pendaftaran secara:
  • Automatik (melalui majikan)
  • Menghadirkan diri ke kaunter KWSP
  • Mel
Pendaftaran di kaunter KWSP sahaja
CARUMAN Proses berkaitan caruman sedia ada kekal dan majikan tidak perlu membuat pembayaran caruman secara berasingan bagi pekerja yang memilih Simpanan Shariah.
PENGUATKUASAAN Majikan yang lewat membayar caruman samada pekerja-pekerjanya memilih Simpanan Shariah atau tidak akan dikenakan:
  • Caj lewat bayar: Kadar dividen terendah antara Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah bagi setiap tahun berkenaan dengan ditambah 1%. (“Caj lewat bayar” menggantikan “faedah”)
  • Dividen: Kadar dividen terendah antara kadar dividen Simpanan Konvensional dan kadar dividen Simpanan Shariah

Sebelum ada kadar dividen Simpanan Shariah, kadar dividen KWSP yang diisytiharkan bagi setiap tahun berkenaan hendaklah dirujuk bagi pengiraan caj lewat bayar dan dividen

PENGELUARAN Kemudahan pengeluaran sedia ada kekal Kemudahan pengeluaran sedia ada kekal kecuali Skim Pelaburan Ahli, di mana ahli hanya dibenarkan untuk melabur dalam dana patuh Syariah yang diluluskan oleh KWSP
PELABURAN Pelaburan berdasarkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). Pelaburan berdasarkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir urus (ESG) dan prinsip Syariah.

PENGENALAN

  • Apakah Simpanan Shariah?
    Simpanan Shariah merupakan satu inisiatif oleh KWSP bagi membolehkan ahli KWSP memilih untuk akaunnya diuruskan dan dilaburkan mengikut Syariah.
  • Mengapakah Simpanan Shariah diperkenalkan?
    Simpanan Shariah diperkenalkan kerana terdapat permintaan di kalangan ahli KWSP supaya akaun mereka diuruskan dan dilaburkan mengikut Syariah. Selain itu, berdasarkan hasil kaji selidik rundingan ahli ke atas inisiatif penambahbaikan simpanan persaraan ahli KWSP yang telah dijalankan pada April 2015, sebanyak 71% responden (ahli) bersetuju pilihan simpanan persaraan patuh Syariah diperkenalkan.
  • Bilakah inisiatif ini mula diperkenalkan?
    Inisiatif ini mula diperkenalkan pada 8 Ogos 2016 di mana ahli boleh mendaftar pilihan Simpanan Shariah 2017 (tarikh kuat kuasa 1 Januari 2017) dengan peruntukan dana syariah permulaan sebanyak RM100 bilion.
  • Berapakah jumlah ahli KWSP yang telah bertukar ke Simpanan Shariah berkuat kuasa pada 1 Januari 2017?
    Seramai 635,037 ahli KWSP telah bertukar ke Simpanan Shariah berkuat kuasa pada 1 Januari 2017.
  • Berapakah dana syariah yang telah diperuntukan bagi pendaftaran Simpanan Shariah 2018 (tarikh kuat kuasa 1 Januari 2018)?
    Sebanyak RM50 bilion dana syariah telah diperuntukan bagi ahli mendaftar pilihan Simpanan Shariah 2018. Bagi melayakkan ahli untuk mendapatkan Simpanan Shariah 2018, ahli mestilah mendaftar pilihan Simpanan Shariah selewat-lewatnya pada 24 Disember 2017, tertakluk kepada ketersediaan peruntukkan dana syariah tersebut.

CIRI-CIRI

  • Apakah ciri-ciri utama Simpanan Shariah?
    • Semua ahli KWSP tanpa mengira agama, bangsa dan status warganegara boleh memilih Simpanan Shariah;
    • Simpanan Shariah diuruskan dan dilaburkan berdasarkan Akad Wakalah di mana Lembaga KWSP dilantik dan diamanahkan untuk bertindak bagi pihak ahli untuk menguruskan dan melaburkan simpanan ahli mengikut Syariah;
    • Simpanan Shariah diperakukan oleh Jawatankuasa Penasihat Shariah, KWSP;
    • Kadar dividen yang akan diisytiharkan untuk Simpanan Shariah adalah berdasarkan prestasi sebenar pelaburan patuh Syariah yang diuruskan dan dilaburkan oleh KWSP; dan
    • Ahli KWSP yang memilih Simpanan Shariah tidak boleh membatalkan pilihannya selepas tarikh kuat kuasa dan kembali ke Simpanan Konvensional.
  • Bolehkah ahli KWSP mempunyai dua akaun KWSP – Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah?
    Tidak, ahli KWSP hanya boleh mempunyai satu akaun sahaja sama ada Simpanan Konvensional atau Simpanan Shariah.
  • Apakah itu Jawatankuasa Penasihat Shariah (JKPS) dan siapakah Ahli JKPS?
    JKPS adalah sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Lembaga KWSP di bawah seksyen 23A Akta KWSP 1991. JKPS merupakan pihak berkuasa bagi penentuan perkara Syariah dalam memastikan pengurusan Simpanan Shariah mematuhi prinsip Syariah.
    JKPS hendaklah dianggotai oleh tidak kurang daripada tiga orang yang berkelayakan dalam bidang Syariah atau yang mempunyai pengetahuan atau pengalaman dalam bidang Syariah dan perbankan, kewangan, undang-undang atau apa-apa disiplin lain yang berkaitan.
    Pada masa ini, JKPS dianggotai oleh lima orang yang berkelayakan dalam bidang Syariah, iaitu:

    Prof. Dr. Mohamad Akram Laldin (Pengerusi)

    Pengarah Eksekutif

    International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA)

    Prof. Madya Dr. Aznan Hasan

    Profesor Madya

    Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

    Dr. Zaharuddin Abdul Rahman

    Pensyarah Kanan

    Kulliyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

    Prof. Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali

    Profesor

    Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

    Dr. Kamaruzaman Noordin

    Pensyarah Kanan

    Jabatan Syariah dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

PENDAFTARAN

Ahli perlu hadir ke mana-mana kaunter KWSP bermula 8.8.2016 dan membawa bersama Mykad atau Pasport (untuk bukan warganegara) untuk pengesahan identiti ahli. Ahli perlu menyerahkan dokumen pengenalan diri dan menurunkan cap ibu jari pada Akad Simpanan Shariah yang telah dicetak. Buat masa ini, pendaftaran secara atas talian tidak disediakan.

  • Bagaimanakah tarikh kuat kuasa ditentukan?
    • Tarikh kuat kuasa bagi ahli yang telah membuat pilihan Simpanan Shariah adalah tertakluk kepada:
      • Peruntukan dana patuh Syariah tahunan yang akan diperolehi oleh ahli berdasarkan giliran; dan
      • Apa-apa syarat lain yang ditentukan oleh Lembaga KWSP.
    • Tarikh kuat kuasa pilihan adalah pada 1 Januari mengikut tahun peruntukan dana patuh Syariah tahunan yang diluluskan kepada ahli.
    • Apabila pendaftaran Simpanan Shariah telah memenuhi kuota dana yang diperuntukkan pada tahun tersebut, ahli yang telah membuat pilihan Simpanan Shariah tetapi belum berjaya memperolehi peruntukan dana tersebut, perlu menunggu peruntukan dana patuh Syariah tahunan seterusnya.
  • Bagaimanakah cara untuk saya mengetahui jika permohonan saya untuk memilih Simpanan Shariah telah berjaya?
    • Permohonan ahli yang berjaya akan menerima Notis dan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) pengesahan tarikh kuat kuasa tidak kurang daripada tujuh (7) hari sebelum tarikh kuat kuasa pilihan Simpanan Shariah.
    • Sekiranya ahli tidak menerima sebarang makluman berkenaan tarikh kuat kuasa ianya disebabkan oleh:
      • Kuota dana patuh Syariah yang diperuntukkan telah dipenuhi dan ahli masih dalam senarai menunggu; dan/atau
      • Maklumat perhubungan ahli tidak dikemaskini.
    • Sebarang pertanyaan, sila hubungi:
      • Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922-6000; atau
      • Layari www.kwsp.gov.my.

CARUMAN

  • Jika akaun saya ialah Simpanan Shariah, adakah penyata tahunan saya akan berbeza?
    Tidak, ahli akan menerima penyata tahunan yang sama. Penyata tahunan tersebut akan menyatakan status akaun ahli dan tarikh kuat kuasa Simpanan Shariah.
  • Bolehkah saya mengakses Simpanan Shariah melalui i-Akaun?
    Ya, ahli boleh mengakses Simpanan Shariah melalui i-Akaun.

MAJIKAN

  • Adakah saya perlu memaklumkan kepada majikan sekiranya saya membuat pilihan Simpanan Shariah?
    Tidak, ahli tidak perlu memaklumkan kepada majikan sekiranya ahli memilih Simpanan Shariah.
  • Adakah majikan perlu membuat pembayaran caruman secara berasingan untuk pekerja mereka yang membuat pilihan Simpanan Shariah?
    Tidak, majikan tidak perlu membuat pembayaran caruman secara berasingan untuk pekerja yang memilih Simpanan Shariah.
  • Adakah majikan perlu mengisi Borang A secara berasingan? Adakah terdapat borang yang khusus untuk majikan?
    Tidak, majikan hanya perlu mengisi Borang A seperti proses yang sedia ada dan tiada borang tambahan atau perubahan yang perlu dibuat oleh majikan.
  • Adakah terdapat peraturan-peraturan dan kaedah-kaedah baru yang harus dipatuhi oleh majikan berkenaan caruman jika pekerja mereka ingin membuat pilihan Simpanan Shariah?
    Tidak, majikan adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan dan kaedah-kaedah caruman yang sedia ada.
  • Adakah terdapat sebarang kos tambahan yang akan dikenakan terhadap majikan sekiranya pekerja mereka ingin membuat pilihan Simpanan Shariah?
    Tidak, tiada sebarang kos tambahan akan dikenakan ke atas majikan sekiranya pekerja mereka ingin memilih Simpanan Shariah.
  • Adakah terdapat sebarang caj yang akan dikenakan kepada majikan yang gagal membayar caruman?
    Caj yang akan dikenakan kepada majikan yang gagal mencarum samada pekerja-pekerjanya memilih Simpanan Shariah atau tidak adalah seperti berikut:
    • Caj lewat bayar: Kadar dividen terendah antara Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah bagi setiap tahun berkenaan dengan ditambah 1%. (“Caj lewat bayar” menggantikan “faedah”)
    • Dividen: Kadar dividen terendah antara kadar dividen Simpanan Konvensional dan kadar dividen Simpanan Shariah.

    Sebelum ada kadar dividen Simpanan Shariah, kadar dividen KWSP yang diisytiharkan bagi setiap tahun berkenaan hendaklah dirujuk bagi pengiraan caj lewat bayar dan dividen

PENGELUARAN

  • Adakah saya dibenarkan untuk menggunakan wang pengeluaran saya daripada Simpanan Shariah untuk membayar pinjaman perumahan konvensional atau terhad kepada pinjaman perumahan Islamik sahaja?
    Ya, ahli dibenarkan untuk menggunakan wang pengeluaran untuk pembiayaan pinjaman perumahan konvensional dan Islamik; tertakluk kepada syarat pengeluaran perumahan yang berkuat kuasa.
  • Adakah terdapat sebarang perubahan terhadap pemindahan wang di bawah pengeluaran Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP) atau yang sedia ada?
    Ahli masih tertakluk kepada proses pemindahan wang di bawah pengeluaran Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP) yang berkuat kuasa. Tetapi, bagi ahli yang memilih Simpanan Shariah ahli hanya dibenarkan melabur dalam dana patuh Syariah yang diluluskan oleh KWSP.
  • Adakah dana-dana amanah yang diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) termasuk Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) patuh Syariah? Adakah ahli Simpanan Shariah dibenarkan membuat pelaburan di dalam dana amanah yang diuruskan oleh ASNB?
    Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 telah memutuskan hukum melabur dalam Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus. Ahli Simpanan Shariah boleh merujuk kepada Institusi Pengurusan Dana (IPD) dan penasihat Syariah yang dilantik oleh IPD bagi mendapatkan penjelasan mengenai pematuhan Syariah mana-mana dana patuh Syariah yang tersenarai. Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP tidak akan memberi sebarang perakuan ke atas mana-mana dana patuh Syariah yang tersenarai.
  • Adakah ahli Simpanan Shariah dibenarkan membuat pengeluaran kesihatan bagi tujuan pembayaran kepada Rumah Penjagaan yang dikendalikan oleh bukan Islam?
    Ya, ahli Simpanan Shariah dibenarkan membuat pengeluaran kesihatan bagi tujuan tersebut dan ianya tidak bertentangan dengan Syariah.

PELABURAN

  • Apakah konsep pelaburan yang diguna pakai oleh KWSP ketika ini?
    Strategi pelaburan KWSP adalah berteraskan Alokasi Aset Strategik (SAA) dengan objektif pelaburannya untuk:
    • Melindungi nilai wang simpanan ahli
    • Memberi nilai tambah kepada wang simpanan ahli.

    KWSP mematuhi prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan polisi pelaburan yang melarang KWSP daripada melabur di dalam sektor-sektor yang menggalakkan perjudian, hiburan dewasa dan alkohol/arak atau membuat, mengedar dan memasarkan senjata api atau peralatan ketenteraan.

    Di samping itu, KWSP tidak mempunyai sebarang pendedahan dalam negara yang tiada hubungan diplomasi dengan Malaysia.

  • Bagaimanakah KWSP memastikan Simpanan Shariah yang bakal ditawarkan kekal statusnya sebagai patuh Syariah?
    KWSP akan mewujudkan rangka kerja tadbir urus Syariah yang komprehensif bagi memastikan operasi dan aktiviti pelaburan Simpanan Shariah mematuhi garis panduan dan parameter pelaburan patuh Syariah yang diluluskan oleh Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS). Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS) juga akan memberikan pernyataan dan laporan pematuhan Syariah berkaitan Simpanan Shariah bagi setiap tahun kewangan sebagai sebahagian daripada keperluan tadbir urus korporat KWSP.

SYARIAH

  • Adakah terdapat sebarang perubahan terhadap polisi penamaan bagi Simpanan Shariah?
    Penamaan bagi ahli Simpanan Shariah adalah sama seperti polisi penamaan yang sedia ada termasuklah penama bagi ahli beragama Islam, hanyalah bertindak sebagai wasi/pentadbir yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan pembahagian simpanan KWSP ahli mengikut Syariah manakala penama bagi ahli bukan beragama Islam adalah pemilik mutlak/benefisiari, selaras dengan keputusan Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS).
  • Adakah KWSP akan membuat pembayaran zakat untuk simpanan ahli? Adakah ahli perlu membayar zakat selepas membuat pengeluaran Simpanan Shariah? Adakah kadar dividen yang diagihkan telah dikenakan zakat?
    KWSP tidak akan mengeluarkan zakat ke atas simpanan KWSP ahli termasuk dividen kerana ahli KWSP tidak mempunyai pemilikan sempurna terhadap simpanan KWSP mereka yang merupakan salah satu syarat wajib mengeluarkan zakat.
    Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS) memutuskan pemilikan sempurna ahli KWSP ke atas simpanannya adalah apabila simpanan tersebut layak dikeluarkan dan boleh digunakan oleh ahli tanpa sebarang sekatan. Ahli KWSP beragama Islam wajib mengeluarkan zakat ke atas simpanan KWSP yang layak dikeluarkan sekiranya mencapai nisab (kadar minimum yang bersamaan dengan nilai semasa 85 gram emas).
    Jenis-jenis pengeluaran yang tertakluk kepada pembayaran zakat adalah:
    • Pengeluaran Umur 50 Tahun
    • Pengeluaran Umur 55 Tahun
    • Pengeluaran Meninggalkan Negara
    • Pengeluaran Pekerja Berpencen Dan Pengeluaran Pesara Pilihan
    • Pengeluaran Simpanan Melebihi RM 1 Juta

KEPUTUSAN JAWATANKUASA PENASIHAT SHARIAH TENTANG PENYUCIAN DIVIDEN

  • Sekiranya saya memilih Simpanan Shariah, adakah penyucian dividen perlu dibuat ke atas pendapatan tidak patuh syariah?
    Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS) telah memutuskan pertukaran ke Simpanan Shariah dikecualikan daripada penyucian dividen. Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang telah diadakan pada 18 Ogos 2015 juga telah memutuskan KWSP tidak diwajibkan untuk melakukan penyucian terhadap dividen simpanan semua ahli KWSP yang bersetuju untuk bertukar ke Simpanan Shariah.

    Pautan ke: Keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.
  • Bagaimana saya boleh mendapatkan maklumat jumlah dividen simpanan KWSP saya?
    Ahli boleh merujuk kepada amaun dividen yang dinyatakan di dalam Penyata KWSP yang dikeluarkan setiap tahun kepada ahli. Penyata KWSP boleh diperolehi seperti berikut:-
    No. Kaedah Penyata KWSP
    1. Kaunter KWSP Penyata KWSP tahun 2004 hingga yang terkini
    2. Kiosk KWSP atau i-Akaun Penyata KWSP tahun semasa dan sebelumnya
    3. Mengemukakan permohonan bertulis kepada KWSP dengan menyatakan sebab permohonan (iaitu melakukan penyucian dividen) beserta sesalinan dokumen pengenalan diri (MyKad / Pasport) Penyata KWSP sebelum tahun 2004
  • Sekiranya saya ada membuat pelaburan konvensional daripada simpanan KWSP di Akaun 1 sebelum saya memilih Simpanan Shariah, adakah saya perlu menukar, menebus atau menjual pelaburan tersebut?
    Kaedah-Kaedah KWSP (Akaun Simpanan Shariah) 2016 menetapkan, pelaburan yang dibuat oleh ahli sebelum tarikh kuat kuasa Simpanan Shariah tidak diwajibkan untuk ditukar kepada pelaburan patuh syariah, atau dicairkan atau ditebus. Walau bagaimanapun, berpandukan hukum syarak, Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP menasihati ahli-ahli beragama Islam untuk menukar pelaburan konvensional mereka kepada pelaburan patuh syariah atau menebus atau mencairkan pelaburan konvensional yang dibuat. Sebagai orang yang beragama Islam, adalah menjadi suatu kewajipan bagi mereka untuk memastikan setiap urusan termasuk apa-apa yang berkaitan dengan urusan harta dan kewangan mereka mematuhi syariah. Mereka juga dinasihatkan untuk menyucikan apa-apa keuntungan yang diperolehi daripada pelaburan konvensional itu, sekiranya ada.
  • Bagaimanakah caranya untuk saya melakukan penyucian ke atas dividen simpanan KWSP yang diterima sebelum bertukar ke Simpanan Shariah?
    Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS) telah memutuskan ahli yang bertukar ke Simpanan Shariah dikecualikan daripada melakukan penyucian dividen. Walau bagaimanapun, ahli yang masih ingin melakukan penyucian dividen dinasihatkan untuk mengikuti garis panduan berikut:-
    • Ahli perlu memastikan penyucian dividen yang hendak dilakukan itu tidak memudharatkan sehingga menjejaskan perbelanjaan asas diri sendiri serta tanggungannya berdasarkan syarat-syarat berikut:-
      • Bagi ahli yang mencapai umur 50 tahun, jumlah simpanan KWSP setelah ditolak hutang (sekiranya ada) mestilah melebihi Simpanan Minimum yang ditetapkan iaitu:
        • Semenanjung: RM223,200;
        • Sabah/Labuan: RM280,800; dan
        • Sarawak: RM237,600.
      • Bagi ahli yang belum mencapai umur 50 tahun, pendapatan kasar bulanan isi rumah mestilah melebihi RM2,600.

        Sekiranya syarat-syarat di atas tidak dipenuhi, ahli dinasihatkan untuk tidak melakukan penyucian.

    • Penyucian hanya dilakukan pada kadar 50% daripada jumlah dividen. Jumlah dividen hendaklah ditentukan seperti berikut:-
      • Bagi ahli yang telah membuat pengeluaran penuh: Jumlah dividen yang dikreditkan ke akaun ahli setiap tahun sehingga dividen terakhir yang dibayar bagi pengeluaran penuh; atau
      • Bagi ahli yang telah memilih Simpanan Shariah: Jumlah dividen yang dikreditkan ke akaun ahli setiap tahun sehingga dividen Simpanan Konvensional terakhir.
    • Penyucian boleh dilakukan menggunakan apa-apa sumber kewangan ahli termasuk wang yang dikeluarkan daripada KWSP iaitu Pengeluaran Umur 50 dan 55 Tahun, Pengeluaran Meninggalkan Negara, Pengeluaran Pekerja Berpencen Dan Pengeluaran Pesara Pilihan, Pengeluaran Simpanan Melebihi RM 1 Juta dan Pengeluaran Hilang Upaya
    • Amaun penyucian hendaklah disalurkan kepada aktiviti-aktiviti kebajikan seperti bantuan fakir miskin, bencana alam, kos perubatan dan penjagaan kesihatan, kos pendidikan dan pembinaan/penyediaan kemudahan awam sama ada:-
      • melalui Baitulmal di Majlis Agama Islam negeri masing-masing atau persatuan/ pertubuhan yang berdaftar sebagai badan kebajikan; atau
      • secara langsung kepada pihak yang memerlukan bantuan kewangan terutama sekali ahli keluarga yang tidak berkemampuan selain daripada ibubapa, isteri dan anak-anak (tanggungan wajib).

        Penafian: Garis panduan penyucian dividen disediakan bagi tujuan panduan sahaja. Sila ambil maklum bahawa KWSP tidak akan bertanggungjawab dan tidak akan menanggung sebarang kos atau kerugian ke atas apa-apa kekurangan atau kelebihan amaun bagi tujuan penyucian dividen.

LAIN-LAIN

  • Apakah perbezaan di antara Simpanan Shariah yang ditawarkan oleh KWSP berbanding Tabung Haji?
    • Dari segi konsep, Simpanan Shariah dan akaun Lembaga Tabung Haji (TH) adalah sama di mana pengoperasian serta pelaburan akaunnya adalah tertakluk kepada prinsip Syariah serta berlandaskan garis panduan yang ditetapkan oleh jawatankuasa Syariah masing-masing.
    • Walau bagaimanapun, KWSP dan Tabung Haji (TH) mempunyai objektif penubuhan yang berbeza. Peranan Tabung Haji (TH) adalah sebagai pengelola dana jemaah haji Malaysia yang bertanggungjawab menyediakan kemudahan dan perkhidmatan kepada jemaah haji serta mengurus simpanan pendeposit manakala KWSP ditubuhkan untuk mengurus simpanan persaraan ahli bagi menyediakan faedah persaraan.
    • Setiap dana mempunyai perbezaan dari segi objektif, strategi dan risiko, oleh itu perbandingan terus ke atas kadar dividen Simpanan Shariah dengan dana-dana yang lain adalah tidak bersesuaian.
  • Adakah KWSP menubuhkan pasukan pengurusan yang lain untuk Simpanan Shariah?
    Tidak, pengurusan yang sama akan menguruskan Simpanan Shariah. Walau bagaimanapun, terdapat satu rangka kerja tadbir urus Syariah yang terdiri daripada Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS) dan fungsi-fungsi pematuhan Syariah sebagaimana yang ditetapkan oleh Lembaga KWSP untuk memastikan pengoperasian dan pengurusan pelaburan Simpanan Shariah diuruskan dan dilaburkan berlandaskan prinsip Syariah.

GLOSARI

ISTILAH MAKSUD
Ahli Simpanan Shariah Ahli KWSP yang telah memilih akaunnya untuk diuruskan dan dilaburkan mengikut Syariah serta peruntukan-peruntukan di bawah Akta KWSP 1991, Peraturan-Peraturan dan Kaedah-Kaedah KWSP serta ketetapan lain mengenainya yang berkuat kuasa dari semasa ke semasa dan pilihannya telah berkuat kuasa.
Akad Simpanan Shariah Dokumen yang mengandungi akad wakalah di antara ahli dengan Lembaga KWSP di mana ahli melantik Lembaga KWSP sebagai wakil dan pemegang amanah untuk menguruskan dan melaburkan simpanannya mengikut syariah berdasarkan peruntukan-peruntukan di bawah Akta KWSP 1991, Peraturan-Peraturan dan Kaedah-Kaedah KWSP serta ketetapan lain mengenainya yang berkuat kuasa dari semasa ke semasa.
Simpanan Shariah Sebuah pengurusan akaun Ahli KWSP mengikut Syariah berdasarkan peruntukan-peruntukan di bawah Akta KWSP 1991, Peraturan-Peraturan dan Kaedah-Kaedah KWSP serta ketetapan lain mengenainya yang berkuat kuasa dari semasa ke semasa
Lembaga KWSP Lembaga KWSP yang ditubuhkan di bawah seksyen 3 Akta KWSP 1991.
Prinsip Syariah Prinsip-prinsip Syariah yang diaplikasikan di dalam operasi dan pelaburan Simpanan Shariah yang ditentukan oleh Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS).
Syariah Hukum syarak yang berasaskan sumber utama yang merangkumi Al-Quran, As-sunnah, Ijmak dan Qiyas serta sumber sekunder termasuklah Maslahah, Istihsan, Istishab dan Sadd Al-dzarai’.
Tarikh Kuat Kuasa Tarikh berkuat kuasanya pilihan ahli KWSP yang telah memilih Simpanan Shariah sepertimana yang ditentukan oleh Lembaga KWSP.
Wakalah Suatu kontrak perlantikan ejen yang melibatkan seseorang melantik pihak yang lain untuk bertindak bagi pihaknya.